bluesselamanya

bluesselamanya
puteh

Friday 17 June 2011

Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita. Pergaulan 
antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang lelaki itu ada 
keinginan terhadap seorang wanita, maka dia hendaklah masuk meminang 
dan berkahwin. 

Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut 
sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada keburukan 
dan maksiat. 



Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini 
dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga 
menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah 
lagi apabila hubungan berkenaan dengan sekadar suka-suka, tidak 
membawa kepada pernikahan. 

Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan tersebut 
akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah sangat mengharapkan 
lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas. 

Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada 
orang yang suka membujang sampai ke tua. Berkahwin adalah sunnah 
Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai 
di akhirat kelak. 

Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai 
persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan untuk 
meniti alam berumahtangga. 

Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum 
memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan pilihan 
hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan 
berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum 
dan berbagai-bagai lagi. 

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: 

"Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana 
boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana 
boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana 
agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah 
hidungnya tapi beragama adalah lebih baik." 

Baginda bersabda lagi yang maksudnya: 

"Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok 
rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni 
ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin 
akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan 
dia akan hartanya dan eloknya." 

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw 
menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang yang 
beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat 
beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya 
dimurahkan Allah swt. 

Tanda-tanda seseorang wanita itu baik maruah dan akhlaknya antaranya 
ialah: 

1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh 
beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah dan 
dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa bersyukur dengan 
kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak 
mengingati Allah swt. 

2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak, mengurus 
rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan 
dengan manusia. 3. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta 
membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak 
keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt. 

4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. 
Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan memudahkan 
mereka dengan apa cara yang termampu. 

5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami, melayan suami 
dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan, 
menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami. 

Disunatkan pula memilih gadis yang terdiri dari keturunan yang kuat 
agama, anak cucu orang alim dan soleh. Seseorang wanita yang kuat 
agama memiliki sifat-sifat kemanusiaan, berbudi pekerti tinggi. 

Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita yang 
mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulin maka itulah keistimewaan 
dan kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan 
bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita solehah bererti dia 
telah mendapat satu nikmat Allah yang besar. Keterangan ini terdapat 
dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas r. a: 

"Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia 
telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang 
selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar 
dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak 
menzalimi suaminya." 

Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan keluarga 
yang soleh ini telah jelas dinyatakan sebahagian daripada sifat- 
sifatnya oleh Rasulullah saw: 

"Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada 
Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah seorang isteri yang 
solehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap juga 
berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia 
menyimpan rahsia dan harta suaminya." 

Demikianlah di antara kelebihan yang diperolehi oleh seorang suami 
jika ia memiliki isteri yang solehah. 

Islam menggalakkan mengahwini wanita-wanita asing daripada keluarga 
terdekat untuk meluaskan hubungan kekeluargaan dan mngukuhkan 
persaudaraan Islam. 

Risiko dari perkahwinan sanak saudara akan melahirkan anak-anak yang 
tidak sihat dan lembab otak. Tujuan digalak berkahwin dengan orang 
yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan supaya dapat melahirkan 
anak-anak yang sihat, bertenaga, cantik dan pintar. 

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: 

"janganlah kamu nikahi wanita-wanita kerabat terdekat, maka 
sesungguhnya anak yang bakal lahir nanti berakhlak lemah fikiran dan 
akal." 

Rasulullah saw menyatakan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan 
isteri berbanding dengan janda. 

Rasulullah saw bersabda: 

"Kahwinlah para gadis kerana sesungguhnya, mereka itu menarik tutur 
bahasanya, bersih rahimnya (mampu berzuriat), kurang dalihnya dan 
mudah meredhai kerjanya." 

Rasulullah saw menekankan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan 
isteri kerana setiap perkahwinan berkehendakkan sesuatu hasil 
penguniaan anak yang soleh dan solehah. 

Untuk melaksanakan tugas yang mulia ini maka perlulah seorang lelaki 
itu mengkaji secara terperinci terlebih dahulu bakal isterinya agar 
dapat melahirkan anak dan tidak ada sebarang keuzuran yang boleh 
menghalangnya dari mengandung dan bersalin. 

Bagi mengetahui sifat-sifat kesanggupan gadis itu, pada umumnya 
boleh dijadikan ibunya sebagai perbandingan. Seandainya ibunya 
mempunyai ramai anak, pada kebiasaannya gadis itu pun akan mewarisi 
ibunya, tetapi tidak semua tanggapan ini benar, kadang-kadang 
mengikut baka dirinya pula. 

Apabila ramai zuriat, semakin kukuhlah ummah dan teruslah 
tertegaknya daulah Islamiah. Membiak zuriat bertambah seri, erat dan 
bahagianya sebuah rumahtangga di mana wujud ketenangan jiwa hasil 
kasih saying antara kedua suami isteri. Rasulullah saw, begitu kuat 
menekankan supaya setiap lelaki memilih calun isterinya yang ramai 
anak, sebagaimana sabda baginda: 

"Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, 
sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para 
Nabi pada Hari Kiamat nanti." 

Begitulah penekanan Rasulullah saw ke atas umatnya, baginda bangga 
dengan umat yang ramai kerana di situlah letaknya kekuatan agama 
Islam. 

Diharamkan seseorang lelaki memilih seseorang wanita yang telah 
dipinang saudaranya, kerana bererti ia menyerang hak dan menyakiti 
hati peminang pertama, memecah belah hubungan kekeluargaan dan 
mengganggu ketenteraman. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: 

"Orang mukmin satu dengan lainnya bersaudara, tidak boleh ia membeli 
barang yang sedang dibeli saudaranya, dan meminang pinangan 
saudaranya sebelum ia tinggalkan." 

Islam juga mengutamakan wanita yang masih gadis untuk dipadankan 
dengan lelaki yang muda belia, sebab itulah disunatkan memilih gadis. 

Walau bagaimana, terdapat pula keadaan tertentu apabila janda pula 
menjadi yang utama. Misalnya, untuk menyelesaikan masalah 
perlindungan kepada janda dan anak-anak. 

Islam turut menghormati taraf kedudukan seseorang, sebab itulah 
pemilihan pasangan hidup hendaklah juga mengambil kira taraf atau 
sekufu. Firman Allah swt yang bermaksud: 

"Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan 
perempuan yang berzina juga atau perempuan musyrik. Dan perempuan 
yang berzina tidak boleh dikahwini melainkan oleh lelaki yang 
berzina juga ataupun lelaki yang musyrik. Yang demikian itu haram 
terhadap orang yang beriman." 

"Wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki 
yang jahat adalah untuk wanita-wanita yang jahat, dan wanita-wanita 
yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah 
untuk wanita-wanita yang baik." 

Ayat di atas patut menjadi iktibar, terutama kepada para lelaki dan 
wanita yang ingin berkahwin. Kepada yang sudah berumahtangga, 
ambillah iktibar ini dan muhasabah kepada diri kita kembali apabila 
menghadapi masalah dalam rumahtangga dan mengapa Allah swt 
pertemukan jodoh kita dengan pasangan kita sekarang. 

No comments:

Post a Comment