bluesselamanya

bluesselamanya
puteh

Tuesday 14 June 2011

Isteri yang solehah seharusnya menjadi teman berunding bagi suami, menjadi sahabt dalam menyelesaikan masalah. Itulah sebabnya hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagi “teman hidup”. Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan keluarganya, maka berilah motivasi kepada suami disamping menghiburkan hatinya.
Dalam sesebuah institusi keluarga, ahli-ahlinya perlulah bersama-sama memikul tanggungjawab supaya pembentukan keluarga bahagia akan tercapai. Dalam hal yang sedemikian, terdapat beberapa tanggungjawab yang dipikul bersama oleh suami isteri. Kedua-duanya perlulah mendalami ilmu fardu ain. Ini adalah perlu kerana ilmu ini merupakan panduan untuk mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Kita juga wajib menuntut ilmu sampai ke liang lahad. Dengan mempelajari lebih banyak ilmu fardu ain, suami isteri dapat menghayati kehidupan Islam lebih bermakna lagi.
Untuk menyelesaikan apa juga masalah keluarga, suami isteri perlulah sentiasa berbincang demi kebaikan bersama. Perbincangan adalah lebih baik daripada bersikap autokratik kerana kata sepakat dapat dicapai untuk kebaikan bersama dan tidak untuk kepentingan satu pihak sahaja. Malah, dengan perbincangan juga suami isteri boleh mendapat ilham baru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama. Dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing, kadang-kadang kita memerlukan pertolongan dalam hal-hal kebajikan.
Isteri kadang-kadang memerlukan pertolongan si suami untuk membuat kerja-kerja rumah. Dalam hal sebegini, adalah perlu bagi pasangannya untuk meringankan beban yang dihadapi oleh pasangannya supaya kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan cepat dan betul. Apabila seorang daripada mereka melakukan perkara yang ditegah, adalah menjadi tanggungjawab pasangannya untuk menegur kesilapan yang telah dilakukan. Suami isteri hendaklah saling tegur menegur dan menghalang pasangan masing-masing daripada melakukan kemungkaran, sebaliknya melakukan lebih banyak hal-hal kebajikan.
Kedua-duanya perlulah bersikap jujur dan selalu menepati janji antara satu sama lain kerana perkahwinan dianggap sebagai satu institusi yang mana ahli-ahlinya perlulah saling percaya mempercayai antara satu lama lain tanpa perlu berbohong atau menyimpan rahsia. Oleh sebab itulah maka suami isteri hendaklah bersikap terbuka dan berterus terang dalam banyak hal tanpa menyembunyikan kebenaran.
Suami isteri perlulah saling memaafkan dan menasihati kerana sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Ini adalah penting kerana tanpa sikap pemaaf dan saling tegur menegur ini, maka suami isteri itu akan hidup dalam kekacauan kerana sering melakukan kesilapan tanpa ada orang yang ingin menegurnya ataupun sering berbalah kerana tidak ada sikap pemaaf itu.
Salah satu hikmah berkahwin ini ialah suami isteri dapat melakukan solat berjemaah. Seperti yang diketahui, jika kita solat berjemaah, maka pahala yang diperolehi adalah berganda-ganda daripada solat secara sendiri. Dengan melakukan solat berjemaah ini maka perhubungan ukhwah antara suami isteri dapat dipereratkan. Yang paling penting dalam kehidupan sebagai suami isteri ini ialah bertawakal kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup berumahtangga.

No comments:

Post a Comment