Azman mengejar cinta Ain. Azman dan Ain bersama-sama menyertai kelab Adventure di universiti tempat mereka belajar. Azman berusaha memikat hati Ain sekian lama. Pelbagai cara Azman lakukan bagi menampilkan diri sebagai seorang yang menarik pada pandangan Ain. Pada hujung minggu, mereka bersama 40 ahli persatuan pergi mendaki Gunung Nuang. Sepanjang perjalanan Azman sentiasa cuba mendekati Ain tetapi semakin Azman mendekati Ain, semakin naik menyampah Ain pada Azman. Semasa masak bersama di tapak perkhemahan, Azman buat-buat rajin dengan membasuh semua bekas makan dan beria-ia menyalakan api. Tapi Ain buat tidak faham kerana dia tahu Azman sahaja buat rajin semata-mata supaya memikat hatinya, tetapi hatinya langsung tidak terpikat.
Kesian Azman. Selepas siap memasak Azman tertidur kerana terlalu letih sambil dia terbaring di sisi khemahnya. Ain kebetulan lalu di situ selepas mengemaskan perkakas masak. Ain melihat Azman sedang tertidur. Azman dengan sempoinya tidur dengan mulut terbuka sedikit, tangannya tergarugaru badannya yang sekali-sekala digigit nyamuk hutan sambil memeluk beg khemahnya. Tiba-tiba terdetik pada hatinya suatu yang menarik tentang Azman yang amat memikat hatinya iaitu cara Azman tidur! Hati kecilnya berkata, “Alamak, cutenya cara dia tidur.” Padahal kalaulah Azman tahu Ain sedang memerhatikan dia tidur mesti dia malu kerana pada Azman caranya tidur boleh membuatkan Ain tidak suka dengannya hanya sampai bila-bila, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Selepas itu Ain sudah jatuh hati dengan Azman secara tiba-tiba dan perhubungan menjadi lebih intim lagi. Tetapi Azman merasakan Ain suka padanya kerana sifat rajinnya yang ditunjukkan semasa aktiviti perkhemahan itu. Azman hanya mengetahui ‘sebab sebenar’ mengapa Ain boleh jatuh hati dengannya selepas mereka mendapat anak nombor dua!
Faizal dan Azizah. Faizal adalah jejaka yang tampan. Bukan sahaja ketampanannya diakui oleh wanita bahkan rakan lelaki juga. Azizah sebagai kekasih Faizal mencintainya sepenuh hati. Apabila satu hari Faizal bertanya kepada Azizah apakah yang menyebabkan dia jatuh hati kepadanya. Jawapan Azizah mengejutkan Faizal. Dia jatuh hati padanya kerana Azizah suka mendengar suara Faizal menjawab telefon ketika waktu subuh. Rupanya ‘suara bangun tidur’ Faizal yang menjadi pengikat hati Azizah bertahun-tahun dan bukannya ketampanan wajahnya.
Tuan Das dan Puan Das. “Saya tidak mengahwini suami saya (Tuan Das) kerana dia seorang peguam yang berjaya,” kata Puan Das sambil suaminya menjeling. “Bahkan semasa kami berjumpa dia baru sahaja menghabiskan peperiksaan CLPnya (Certificate of Legal Practice)” jelas Puan Das. “Kami dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Semasa turun di perhentian Seremban saya melihat seorang lelaki muda India sedang bermain-main dengan kucing sambil bercakap-cakap dengan kucing itu. Rakan saya kata budak lelaki itu mungkin ada masalah mental sebab itu dia bermain dengan kucing. Tetapi saya terpikat dengan sikap penyayang lelaki itu dengan seekor kucing yang dia jumpa dalam persinggahannya. Kemudian saya menyerahkan nota kecil beserta nombor telefon rumah saya kepadanya,” jelas Puan Das bagaimana dia jatuh cinta dengan suaminya Tuan Das.
Jadilah diri kita yang sebenar. Kita takut menjadi diri kita sebenar atas banyak sebab. Antaranya kita takut diri kita tidak ada sifat yang menarik pada pandangan orang lain. Maka kita memperbaiki diri kita. Ia adalah satu langkah yang bijak dan bagus. Tetapi perlu diperhatikan sebab orang mencintai dan terpikat kepada kita bukan didasarkan dengan perkara yang kita jangka menjadi sumber supaya mereka jatuh cnta. Ingat jangan menjadi terlalu sempurna. Dedahkan sifat dan peribadi kita yang sebenar kerana hanya kesempurnaan yang menjadikan kekurangan dan kekurangan yang membawa kepada kesempurnaan.
No comments:
Post a Comment