bluesselamanya

bluesselamanya
puteh

Sunday 19 June 2011

Seorang lelaki meminati seorang gadis. Mereka sama-sama satu sekolah selama 5 tahun. Lelaki datangnya dari keluarga yang berpendapatan sederhana dan berada dalam kelas tercorot manakala Gadis pula agak berada dan belajar dalam kelas terpandai dalam satu aliran yang sama di sekolah mereka.
Lelaki itu meminati Gadis berkenaan namun dia tidak meluahkannya rasa hatinya. Dia memendam perasaannya sekian lama sehinggalah suatu hari dia memberanikan diri untuk meluahkan isi hatinya selama ini kepada gadis yang diminatinya.
“Aku mencintaimu. Adakah kau mencintaiku?” Tanya Lelaki berkenaan kepada Gadis.
Lelaki itu mengambil risiko menyatakan perasaan hatinya.
“Kau mencintai aku? Adakah kau tahu, kita berdua tidak setaraf? Engkau tidaklah sekaya aku. Lupakahlah niat kau untuk mendapat cinta aku!” Herdik Gadis dengan cacian dan penghinan.
Lelaki agak kecewa dengan ucapan yang telah dituturkan oleh Gadis itu terhadapnya. Sejak peristiwa tersebut, hubungan mereka agak dingin dan tidak bertegur sapa seperti sebelumnya.
Lelaki mula berubah sikap. Menjadi pendiam dan semakin tekun belajar. Masa rehat, dia lebih suka berada di perpustakaan daripada berada di kantin untuk menjamu selera. Kadang-kadang, dia terlewat masuk ke dalam kelas kerana kerap tertidur di dalam perpustakaan. Setiap kali juga didenda berada di luar kelas kerana lewat masuk ke dalam kelas selepas masa rehat.
Ketika didenda berada di luar kelas, Gadis yang diminati gelak mengejek di dalam kelasnya yang berada bertentangan dengan kelas Lelaki itu.
Peperiksaan percubaan SPM, Gadis mendapat keputusan cemerlang berbanding Lelaki. Dia megah dengan keputusan yang diperolehi manakala Lelaki keputusannya agak memuaskan.
Masa semakin berlalu. Peperiksaan SPM hampir tiba dengan berbaki cuma dua minggu. Lelaki tidak datang ke sekolah sehinggalah sehari sebelum peperiksaan sebenar. Matanya lebam kerana tidak cukup tidur. Kerap juga tertidur ketika guru memberi tips peperiksaan di dalam dewan.
Selepas peperiksaan yang menentukan hala tuju mereka selepas zaman persekolahan, mereka berpisah. Lelaki meneruskan hidupnya walaupun kata-kata remaja Gadis tempoh hari agak berbisa.
Apabila keputusan SPM diumumkan, satu sekolah terkejut besar kerana bukan Gadis  berkenaan yang mendapat keputusan cemerlang seperti mereka duga tetapi Lelaki yang Gadis pernah herdik dahulu. Slip peperiksaan remaja lelaki, bapa saudara Lelaki berkenaan yang datang mengambilnya. Menurut katanya, Lelaki berkenaan mungkin akan datang mengambilnya sendiri bila tiba masanya nanti, mungkin setahun kemudian apabila sijil sebenar sudah keluar.
Masa semakin berlalu. Masing-masing menjadi dewasa tetapi perasaan cinta Lelaki masih tetap terhadap Gadis tersebut.
Gadis meneruskan pengajiannya di sebuah universiti tempatan dalam bidang undang-undang. Dia kerap tertanya-tanya, di manakah Lelaki menyambung pengajiannya. Sehingga kini tidak mendapat berita langsung dari Lelaki berkenaan.
Selepas tamat pengajian, Gadis bekerja di salah sebuah firma undang-undang yang tersohor dan kerap memenangi kes-kes yang dikendalikannya. Dia sudah tidak ingat Lelaki yang pernah menyatakan perasaan cintanya terhadap Gadis suatu ketika dahulu. Gadis semakin sibuk sehinggalah pada suatu hari dia mengalami satu kemalangan ketika hendak pergi bekerja.
Kereta yang dinaiki oleh Gadis berlanggar dengan sebuah lori dari arah bertentangan. Keadaan kemalangan agak mengerikan tetapi nyawa Gadis masih panjang lagi. Namun begitu, kedua-dua kornea mata Gadis luka kerana terkena cermin mata hitam yang dipakainya. Dia buta kedua-dua belah matanya.
Gadis dimasukkan ke dalam wad. Tiada penderma yang tampil untuk membantu memulihkan penglihatan Gadis sehinggalah pada suatu hari doktor masuk menyatakan berita gembira.
“Kita ada penderma organ yang sudi membantu. Kami akan menjalankan pembedahan untuk memulihkan kembali penglihatan awak. Ini sebenarnya adalah wasiat penderma organ sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.” Kata doktor berkenaan kepada Gadis.
Pembedahan selamat dijalankan. Gadis sudah boleh melihat kembali seperti sediakala. Apabila sudah sembuh, dia ingin mendapatkan kepastian, siapakah yang telah mewasiatkan agar korneanya diberikan kepada Gadis. Doktor yang telah merawatnya menyatakan bahawa waris penderma organ tersebut ingin berjumpa dengan Gadis apabila dia bersedia untuk berjumpa dengan mereka.
Apabila masa yang sesuai dan tiba masanya, Gadis berjumpa dengan pewaris penderma yang telah bermurah hati mendermakan salah satu organ terpenting bagi manusia itu  kepadanya.
“Di sini,ada sepucuk surat ditujukan kepada anak dari tuan empunya mata anak sekarang. Jika ada apa-apa yang ingin ditanya,anak boleh bertanya kepada kami” ucap seorang wanita berumur kepada Gadis.
Perasaan bercampur-baur, Gadis membuka perlahan-lahan dan membaca surat berkenaan;
‘Buat Gadis yang pernah aku cintai. Aku meminta maaf sekiranya surat ini membuatkan kamu bertanya-tanya siapakah diriku yang sebenarnya. Dan aku juga tahu, kamu mungkin sudah melupakan aku tetapi aku sedikitpun tidak pernah melupakan dirimu.
Dirimu tidak mungkin dapat bertemu dengan diriku lagi selepas ini. Biarlah aku yang menjadi perindu, merindui dirimu selama ini. Rinduku ini,aku bawa bersama jasad ke bumi.
Namun begitu,aku tidak ingin melihat dirimu menderita. Jadi, aku berikan mata aku ini agar masa depanmu tidak kelam. Janganlah membenci diriku lagi.’
Air mata perlahan-lahan keluar dari kelopak mata Gadis. Bahunya terhenjut-henjut menahan esak.
“Betapa besarnya pengorbanan kau terhadap aku” getus Gadis dalam hati. “Maafkan aku kerana pernah menyakiti hati kau suatu ketika dahulu”.
Wanita berusia memaut bahu, merenung wajah Gadis dan berkata dengan perlahan,
“Anak kami selepas tamat pengajian bersama anak dahulu, dia terlebih dahulu membuat persediaan sebelum menyambung pengajian di luar negara. Namun, tidak sempat menghabiskan pengajiannya. Apabila cuti semester, dia tidak balik tetapi bekerja sambilan di sana. Semasa berada di sana, dia sering sakit dan kadang-kadang sakitnya tidak tertahan. Penyakitnya semakin teruk apabila berada di tahun akhir. Kami terpaksa membawanya kembali ke tanah air. Selepas didiagnosis, barulah kami mendapat tahu bahawa dia menghidap barah tulang.
Walaupun dia berada di luar negara, dia kerap berpesan agar, selalu lihat-lihatkan anak di sini. Katanya, dia ingin merisik anak apabila dia sudah menamatkan pengajiannya dari sana. Kami telah menjalankan tugas kami sebagaimana yang telah disuruh oleh dia. Namun, apakan daya. Kita merancang tetapi Tuhan lebih menyayangi anak kami.
Apabila anak kemalangan tempoh hari, dia pun sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Hanya menunggu masa untuk kembali kepada Pencipta. Ketika itu, dia mewasiatkan agar mendermakan mata dia kepada anak. Dia tidak ingin melihat hidup anak susah. Walaupun suatu ketika dahulu, anak pernah membencinya tetapi dia tidak pernah berdendam sedikitpun dengan anak.”
Air mata semakin laju mengalir keluar dari mata Gadis.
“Maafkan aku. Aku tidak tahu sebegini besar pengorbanan kau terhadap aku. Maafkan aku. Maafkan aku,” Kata Gadis dalam hati.

No comments:

Post a Comment